Makanya si Awang gigih bebenor menuruni satu persatu anak cucu cicit tangga tangga yang dia sendiri tidak terfikir untuk mengira berapa banyak semuanya, kerana di fikiran beliau cumalah nasib si tunangnya (sudah tentu la Cik Dayang "putih putih" Melati "merah merah delima") yang mungkin dibelenggu penantian yang penuh penyiksaan. Dari tingkat 22, beliau turun ke tingkat 17, sempat Awang mengintai untuk mengetahui kedudukan lif ketika itu. Tingkat 12. Oh, beliau cuma 5 tingkat di belakang (ke, di atas?) lif. Derup langkah Awang semakin deras, tanpa sedar beliau kini di tingkat 10. Diintainya lagi kedudukan lif, di tingkat 7 ketika itu. Boleh dikatakan halaju Awang menguasai halaju lif seliaan AM Advanced Elevator itu. Semangat beliau makin membara, Awang sudah berpijak di tingkat 3, lif pula di tingkat 2. Ketika itu, adalah seorang kakak juga menuruni tangga di hadapan Awang. "Minah ni melambatkan perjalanan aku je," desus beliau dalam hati. Sungguhpun halaju Awang diperlahankan oleh kakak itu, akhirnya Awang sampai juga di aras tanah, dan tanpa diduga lif menyusul 3 saat kemudian. Tiada lain di fikiran Awang ketika itu melainkan KEMENANGAN. Awang dengan machonya mengukir senyuman sambil terus berjalan menuju ke kenderaan beliau.
Nota kaki: Mengapa Awang tidak memilih untuk menunggu sahaja lif itu turun ke bawah dan naik semula ke tingkat 22? Jawapannya mudah, hanya satu sahaja lif yang berfungsi daripada yang sepatutnya dua. Dan satu satunya lif ini juga ada tabiat buruk yang mana, setiap kali beliau hendak berhenti di satu satu tingkat, beliau akan tekan brek dua tingkat sebelum tiba ke tingkat yang ditujui, perlahankan halaju beliau sebelum membuka pintu, dan ini dalam perkiraan Awang, mengambil masa kurang lebih 20 saat. Bayangkan kalau lif terpaksa berhenti 10 kali sebelum sampai ke bawah dan 10 kali lagi sebelum tiba semula ke tingkat 22. Buat lah pengiraan ya. Tak lupa juga lif tersebut tiada pengudaraan, lif yang sarat dengan muatan pelbagai bangsa dan budaya pastinya merembeskan bau bauan yang tidak menyenangkan. Peluh bujang Awang pasti berbintat bintat di dahi, yang lama kelamaan membasahkan ruang antara bahu dan lengan beliau menyebabkan berlakunya fenomena yang dinamakan ketibas. Awang yang sudah berwangi wangian pastinya tidak mahu semua ini.
1 comment:
good one!! XD
i want more!!
Post a Comment